Hadist Tentang Tahajjud
21. Dari Ibnu Abbas r.a :Apabila Rasulullah saw bangun tengah malam hendak solat tahajjud, Nabi saw membaca :
(Wahai Allah.. Untuk-Mulah segala puji. Engkau penanggung langit dan bumi beserta isinya. Untuk-Mulah segala puji. Penguasa langit dan bumi dan segala isinya. Untuk-Mulah segala puji ; Cahaya langit dan bumi.
Untuk-Mulah segala puji. Engkau Maha Benar, janji-Mu Maha Benar, menemui Engkau (di akhirat) Maha Benar, syurga Maha Benar, neraka Maha Benar, para Nabi Maha Benar dan Muhammad sollallaahu ‘alaihi wassalam Maha Benar dan hari kiamat Maha Benar.
Wahai Allah.. Saya pasrah kepada-Mu dan dengan Engkau aku beriman, kepada Engkau aku menyerah dan kepada Engkau aku kembali; dan kerana (mempertahankan agama) Engkau aku bermusuhan dan kepada Engkau aku meminta hukum.
Kerana itu ampunilah dosa-dosaku yang terdahulu dan terakhir, ampunilah apa yang ku rahsiakan mahupun yang ku nyatakan. Engkaulah yang mendahulukan dan yang mengemudiankan, tidak ada tuhan melainkan hanya Engkau dan tidak ada daya dan kekuatan melainkan di tangan Engkau). [0581]
22. Dari Abu Hurairah r.a :Rasulullah saw bersabda, “Waktu seseorang sedang tidur, syaitan membuat tiga buah simpul di kepalanya. Untuk setiap simpul ia (syaitan) mengatakan, ‘Tidurlah engkau sepanjang malam’.
Ketika terbangun, lalu dia (orang yang tidur) menyebut nama Allah, maka lepaslah satu simpul. Jika berwudhu’, lepas pulalah satu simpul. Dan jika dia solat terbukalah seluruh simpul.
Maka waktu bangun pagi ia akan merasa penuh semangat dengan badan yang segar bugar. Jika tidak, dia akan bangun pagi dengan perasaan serba tak enak dan malas.” [0599]
23. Dari Samurah r.a :Diceritakannya dari Nabi saw perihal mimpi. Nabi saw bersabda, “Barangsiapa bermimpi seolah-olah kepalanya dipukul orang dengan batu, ertinya orang itu mempelajari Al-Quran tetapi tidak diamalkannya dan solat wajib ditinggalkannya.” [0600]
24. Diberitakan oleh Abu Hurairah r.a :Rasulullah saw bersabda, “Allah tabaaraka wa ta’aala (Allah yang Maha Suci lagi Tinggi) turun ke langit dunia pada sepertiga yang akhir di setiap malam.(Notakaki)
Dia (Allah) berfirman : ‘Barangsiapa berdoa kepada-Ku akan Ku perkenankan doanya. Barangsiapa meminta kepada-Ku akan Ku beri dia. Siapa yang minta ampun, akan Ku ampuni dia.” [0602]
(Tambahan oleh Koleksi Hadis: Notakaki :Turunnya Allah ke langit dunia – Hendaklah kita biarkan seperti mana adanya, iaitu tanpa:
(1). Takyif (mempersoalkan kaifiatnya/hakikatnya)
(2). Tasybih (penyerupaan)
(3). Ta’thil (penolakan)
Wajar saya tambahkan kata-kata Na’im bin Hammad al-Khuza’i (guru Imam al-Bukhari). Beliau mengatakan, ‘Barangsiapa menyerupakan Allah dengan makhluk-Nya, maka ia kafir. Dan barangsiapa mengingkari sifat yang telah Allah berikan untuk diri-Nya sendiri, bererti ia juga telah kafir.”
Barangsiapa yang menetapkan bagi Allah Ta’ala setiap apa yang disebutkan oleh Al-Quran yang jelas dan hadis-hadis sahih dengan pengertian yang sesuai dengan kebesaran Allah, serta menafikan kekurangan-Nya, bererti ia telah menempuh jalan petunjuk. (RUJUKAN: Tafsir Ibn Katsir – Tafsir Surah Al-a’raaf [7] : Ayat 54 pada mukasurat : 392)
Hadist Tentang Puasa
36. Dari Umar r.a, katanya :Siapakah yang hafal sebuah hadis dari Nabi saw berkenaan dengan fitnah?
Jawab Hudzaifah : Aku mendengarnabi saw bersabda, “Fitnah seseorang dalam keluarganya, dalam hartanya dan tetangganya dapat ditutup (dihapuskan) oleh solat, puasa dan sedekah.” [0929]
37. Dari Abu Hurairah r.a :Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa menafkahkan dua perkara pada jalan Allah, maka dia akan dipanggil dari beberapa pintu syurga. Wahai hamba Allah! Inilah kebaikan!
Maka siapa yang mengerjakan solat ia akan dipanggil dari pintu solat; siapa yang ikut berperang ia akan dipanggil dari pintu jihad; siapa yang puasa ia akan dipanggil dari pintu Rayyaan; dan siapa yang bersedekah ia akan dipanggil dari pintu sedekah.”
Kata Abu Bakar r.a, ‘Aku tebus engkau dengan bapa dan ibuku, hai Rasulullah. Tiadalah suatu kesukaran bagi orang-orang yang dipanggil dari pintu-pintu itu, dan adakah seseorang dipanggil dari pintu-pintu itu semuanya?’
Jawab Nabi saw, “Ya, dan aku mengharapkan supaya engkau termasuk dalam golongan mereka itu.” [0931]
38. Dari Abu Hurairah r.a :Rasulullah saw bersabda, “Apabila datang bulan Ramadhan, dibukakan semua pintu syurga.” [0932]
39. Dari Abu Hurairah r.a :Rasulullah saw bersabda, “Apabila tiba bulan Ramadhan; dibukakan pintu langit, dikunci pintu neraka dan dibelenggu syaitan.” [0933]
Comments
Post a Comment
Silahkan berkomentar semau kalian